PERSATUAN WATOS MENYAMBUT BAIK INISIATIF PEMBANGUNAN DAERAH TONGOD
[Kuala Lumpur, 19 Mei 2022]: Perayaan Pesta kaamatan peringkat Daerah Tongod 2022 disambut dengan penuh gemilang pada 13-14 Mei 2022 yang telah dirasmikan oleh YAB Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor di Dewan Terbuka, Dataran Daerah Tongod. Kedatangan YAB Ketua Menteri Sabah disambut dengan penuh mesra oleh warga Tongod/Kuamut pimpinan YB Datuk Masiung Banah, Adun N57 Kuamut serta pemimpin-pemimpin masyarakat di Daerah Tongod.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Warga Tongod Semenanjung (WATOS), Ts. Oziel Sibin yang turut hadir menyaksikan ucapan perasmian YAB Ketua Menteri Sabah menyambut baik usaha murni Kerajaan Negeri Sabah untuk menyalurkan pembangunan di Daerah Tongod. Antara intipati ucapan YAB Ketua Menteri termasuklah:
- Penyerahan 611 geran tanah dan satu warta perkampungan anak negeri iaitu Kg. Sanan.
- Projek Komersil 6 unit kedai dua tingkat oleh Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah.
- Permohonan peruntukan pembinaan rumah kos rendah, astaka di Kompleks Sukan Tongod dan Rumah Pusat Kebudayaan Tongod/Kuamut di KDCA YB Datuk Masiung Banah, Adun Kuamut diluluskan serta merta oleh YAB Ketua Menteri Sabah.

Ts. Oziel Sibin, Presiden Persatuan Warga Tongod Semenanjung (WATOS) ketika dihubungi berkata ‘Projek yang diumumkan ini memberi impak positif kepada pembangunan Daerah Tongod yang akan dinikmati oleh masyarakat disekitar di samping menjadi batu loncatan kepada kemajuan-kemajuan yang lain. Saya melihat Kerajaan Negeri Sabah pimpinan YAB Ketua Menteri, DSP Hajiji Noor menunjukkan kesungguhan yang luar biasa bagi memastikan rakyat di luar bandar khususnya Daerah Tongod dapat menikmati apa jua pembangunan dan juga kemudahan-kemudahan asas yang lain.’
‘Sebagai Warga Tongod, saya rasa bersyukur kerana Tongod diberi perhatian dan berharap perlaksanaan projek pembangunan yang diumumkan ini berjalan dengan lancar seterusnya dapat disiapkan dalam jangka masa yang akan ditetapkan oleh pihak pemaju.’ Katanya.

Pemberian geran tanah adat dan pewartaan perkampungan juga antara usaha yang baik ditunjukkan oleh Kerajaan Negeri Sabah terutama kepada Adun Kuamut, YB Datuk Masiung Banah. Pihak WATOS berharap lebih banyak lagi perkampungan di Daerah Tongod dapat diwartakan sebagai perkampungan anak negeri memandangkan masih terdapat perkampungan yang belum diwartakan sebagai perkampungan dan difahamkan ada tanah-tanah adat penduduk termasuk dalam township. Walaubagaimanapun, WATOS yakin dan berharap kewibawaan pemimpin Adun Kuamut, YB Datuk Masiung Banah dapat membantu kampung-kampung terbabit untuk diwartakan sebagai perkampungan anak negeri seperti pewartaan Kg Sanan.


Turut sama mengiringi YAB Ketua Menteri Sabah memeriahkan Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod tersebut termasuklah YB Datuk Jahid jahim Timbalan Presiden PBS/Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, YB Datuk Isnin Aliasnih pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Seri Panglima Hj. Safar Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, YB Tuan Jonney bone J Kurum, Setiausaha politik kepada Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Pegawai Daerah Tongod (DO) Tuan Hj. Mohd Fauzi bin Norbeh.
Dikesempatan ini, WATOS mengucapkan Kotobian Tadau Tagazo Do Kaamatan 2022. Selamat Menyambut Pesta Kaamatan 2022.